Kanser Payudara
( 17 Votes )
Sunday, 02 December 2012 00:00

Soal jawab perubatan Al-Quran bersama Hj. Lokman Abd Hamid

Soalan:

Nama saya Hasnah dan berusia 40 tahun.  Saya telah disahkan menghidap kanser payudara tahap 3 pada awal February  2010.  Pada bulan March 2010, saya telah menjalani pembedahan “mastectomy”  iaitu  pembedahan membuang keseluruhan payudara sebelah kiri saya.  Semasa pembedahan itu sebanyak 15 kelenjar telah dikeluarkan dan 7 kelenjar telah dikenalpasti mengadungi sel-sel kanser.   Saya telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 6 kali dan radioterapi sebanyak 15 kali.  Kedua-dua rawatan ini tamat pada September  2010.  Namun pada bulan October 2012, selepas dua tahun lebih saya tamat rawatan,  saya mendapat “cancer relapse”  iaitu kanser kembali menyerang malah telah merebak ke bahagian tulang spinal (C3 & C4) dan menyerang pada tulang pelvic dan tulang rusuk di bahagian dada saya.

Bolehkah Tuan Haji Lokman terangkan kenapa kanser menyerang saya kembali walaupun saya sudah tamat rawatan kimoterapi dan radioterapi? dan apakah ayat-ayat Al-Quran untuk diamalkan untuk menangani penyakit kanser ini dan bagaimana cara mengubati sakit kanser ini melalui perubatan Al-Quran?

Jawapan:

Kanser begitu sukar dipulihkan terutamanya jika sudah berada ditahap 3 dan 4. Sebaik sahaja sel kanser merebak masuk ke saluran darah dan ikut serta dalam sistem peredaran kelenjar atau “lymph”, amatlah sukar untuk memastikan bahagian organ yang mana yang sel-sel kanser telah pun mengalami proses metastasis. Jadi, jalan paling mudah dalam kaedah perubatan moden adalah, kemoterapi, iaitu memasukkan ubat anti kanser mengenai keseluruhan sel organ dalam badan.   Tetapi proses kemoterapi hanyalah berfungsi untuk “surpressed” atau melemahkan sel-sel kanser itu atau melambatkan process kanser itu dari merebak dengan cepat.

Adalah sukar bagi pakar perubatan moden untuk memberi lima tahun jaminan pesakit akan sembuh atau selamat dari kanser. Ini kerana mereka sedar, kebarangkalian sel-sel kanser merebak ke bahagian tubuh yang lain amat tinggi. Biarpun seseorang pesakit kanser itu sudahpun bebas dari kanser berdekad lamanya, itu bukan jaminan kanser tidak akan kembali menyerang mereka.

Dalam kes Puan Hasnah, mengapa kanser kembali menyerang biarpun selepas beliau menjalani rawatan kimoterapi 6 kali dan radioterapi 15 kali?  Hal ini adalah kerana sel-sel kanser yang dilemahkan semasa rawatan kemoterapi atau radioterapi, akan kembali aktif selepas beberapa jangka masa atas beberapa faktor seperti tekanan emosi (“stress”), pemakanan yang tidak seimbang, dan pelbagai faktor lain. Apabila kanser kembali menyerang, pesakit perlu mengulangi semula rawatan seperti rawatan pertama yang dijalani dahulu. Ini yang membuatkan pesakit berasa putus asa, tekanan emosi, dan sebagainya, yang mana tabiat ini tidak membantu menyembuhkan, sebaliknya membantu menggalakkan lagi pertumbuhan kanser.

Dalam erti kata lain, perjuangan melawan kanser melalui rawatan moden, tidak akan pernah selesai dan menemui kesudahannya jika diri tidak berserah kepada ALLAH dan meminta pertolongan dari-NYA.  Firman Allah didalam Al Quran

Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman....” (Al Israa’ 82)

....Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..” (Al Baqarah, 186)

Konsep perubatan menggunakan ayat-ayat suci Al Quran ini adalah ibadah. Justeru tiap amalan perubatan ini adalah bersandarkan amalan ibadah serta doa dan munajat. Konsep inilah yang akan menghasilkan keputusan “2 in 1”, iaitu disamping mendapat kesembuhan, diri juga akan lebih dekat dengan ALLAH s.w.t.

Sesungguhnya kesakitan bukanlah alasan untuk kita menjauhi diri daripada ALLAH.  Dan kesakitan bukanlah alasan untuk kita meninggalkan ibadah samada wajib ataupun sunat. Fasafah kesakitan menurut islam adalah sebagai wahana untuk ALLAH menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu, dan meningkatkan darjat kita disisi-NYA.  Justeru, berdoa ketika sakit lebih dipandang ALLAH berbanding ketika sihat. Hal ini kerana ketika seseorang itu sihat, ia akan berdoa dan beramal dengan sambil lewa, kerana belum merasakan peritnya sebuah musibah kesakitan. Namun, apabila seseorang itu sakit misalnya, ia akan berdoa kepada ALLAH dengan penuh kusyuk, tawadhuk serta penuh pengharapan supaya ALLAH memakbulkan doanya dan menyembuhkan penyakitnya.

Kerana itu, saya sentiasa mengingatkan para perawat saya di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bahawa kita berpegang kepada prinsip berdakwah didalam berubat. Dan buat para pesakit pula, kita membantu mereka agar yakin bahawa mereka beribadah sambil dirawat. Hasil kedua prinsip inilah yang insya ALLAH akan membawa kepada kesembuhan dengan izin ALLAH, dengan syarat, para pesakit mengamalkan apa yang diarahkan, serta meningkatkan amalan sunat, dan menjauhi perkara-perkara dosa dan mungkar. Saya akan berikan beberapa garis panduan secara umum mengenai rawatan kanser menurut kaedah ayat-ayat suci Al Quran kepada pembaca dengan harapan kita meletakkan keyakinan yang penuh kepada mukjizat yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w ini serta rahmat sekalian alam ini. Al Quran, bukan sedakar bacaan, ia sumber panduan, ia medium penyembuhan. Insya ALLAH, semoga dengan keyakinan yang terbina, ALLAH akan hadiahkan pesakit/ pembaca dengan kesembuhan. Antara kaedah yang digunakan untuk merawat kanser menurut perspektif perubatan Al-Hidayah adalah ;

  1. Membaca beberapa rangkaian ayat-ayat suci Al Quran.

  2. Ini adalah amalan utama atau amalan pokok dalam perubatan ini. Pesakit akan diberikan beberapa ayat-ayat suci AL Quran, yang saya beri selepas memeriksa keadaan pesakit, jenis kanser, sejauh mana tahap sakit dan kesan-kesan penyakit kanser terhadap pesakit.  Ayat-ayat suci Al Quran yang diberikan adalah berbeza-beza mengikut individu disebabkan beberapa faktor yang disebutkan tadi. Namun, secara umumnya, ayat-ayat Al Quran yang berfungsi sebagai “egen” penyembuh kanser adalah bermula dengan surah Al Mukminun, ayat 91 hingga 100 dan surah Al Hajj, bermula ayat 31 hingga 55.

    Ayat-ayat Surah Mukminun tersebut adalah untuk bacaan pada waktu malam sebanyak 3 kali samada selepasa maghrib atau isyak ataupun mana-mana masa yang sesuai pada waktu malam, atau boleh juga dibacakan didalam sembahyang samada fardhu, atau Qiyammulail.

    Ayat-ayat surah Al Hajj tadi pula adalah untuk bacaan siang sebanyak 3 kali selepas subuh, atau zohor atau asar. Jika tidak sempat, maka boleh pada bila-bila masa diwaktu siang. Kesimpulannya, tiada alasan “sibuk” atau tidak sempat untuk seseorang pesakit itu melakukan amalan ini. Selepas setiap kali membaca ayat-ayat ini, pesakit boleh berdoa kepada ALLAH s w.t agar sakit mereka tersebut disembuhkan ALLAH. Ingat, berdoa dengan penuh KEYAKINAN bahawa ALLAH berkuasa menyembuhkan tiap-tiap penyakit yang ada di dunia ini. Kita telah pun berikhtiar dengan membaca ayat-ayat ini, lalu berdoalah dan bertawakkallah kepada ALLAH, insya ALLAH, pesakit akan merasakan perbezaannya setelah melakukan amalan ini beberapa hari.

    Dua rangkaian ayat yang saya berikan itu tadi, (al Mukminun, al hajj), hendaklah diamalkan selama empat hingga lima minggu. Baca dengan seikhlas hati dan penuh KEYAKINAN. Setelah empat hingga lima minggu membaca ayat-ayat tadi, maka pesakit perlu pula membaca dua dari rangkaian surah-surah dibawah ini .

     

    • Surah Al Anbiya’ ayat 38 hingga 50
    • Surah Huud ayat 60 hingga 80
    • Surah An Nahl  ayat  90 hingga 110
    • Surah Yunus ayat 55 hingga 70
    • Surah Qasas ayat 66 hingga 88
    • Surah Ibrahim ayat 9 hingga 22
    • Surah Al  Kahfi ayat 38 hingga 60
    • Surah Yunus ayat 71 hingga 89

     

    Setakat hari ini, saya telahpun mengenal pasti sebanyak 60 rangkaian ayat-ayat suci Al Quran ini yang merupakan ayat spesifik penyembuh penyakit kanser. Malah, ayat-ayat ini bersifat khusus untuk setiap satu tahap kanser, dan spesifik untuk setiap jenis kanser yang dialami. Setiap rangkaian ayat-ayat ini samalah juga jika dibandingkan dengan setiap satu jenis ubat dalam kaedah rawatan kanser secara moden.

  3. Berdoa.

  4. Doa merupakan terapi perubatan yang sangat sangat mujarab dan berkesan. Doa adalah medium komunikasi kita dengan ALLAH.  Semasa berdoa, kita sebenarnya sedang bercakap dan mengadu kepada ALLAH.  Siapa yang lebih layak untuk kita mengadu selain dari ALLAH? Hanya ALLAH sahajalah sebaik baik pendengar. Dengan berdoa, hati dan jiwa kita akan lebih tenang. Dan sepertimana  yang kita sedia maklum, ketenangan AMAT penting dalam proses penyembuhan kanser. Ingat, kita berdoa, ALLAH pasti kabulkan, dengan syarat kita berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan, dan bukan kerana arahan atau suruhan sesiapa. Berdoalah dari hati dan jiwa yang ikhlas, pintalah, ALLAH maha mendengar. Sabda nabi s.a.w ;

    Hai manusia, tenangkanlah diri kamu, sesungguhnya kalian bukanlah berdoa kepada yang tuli dan tidak pula kepada yang ghaib, sesungguhnya kamu sedang berdoa kepada Tuhan Yang maha Mendengar lagi Maha Dekat. Dia selalu bersama kamu..” (Riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Musa r.a.)

    Berdoalah kepada ALLAH. Tidak semestinya doa itu didalam bahasa Arab. Berdoalah dalam apa jua bahasa. Berdoalah dari hati dan lisan, serta tangan yang menadah mengharapkan perkenan dari ALLAH. Dalam sebuah hadis sahih nabi s.a.w bersabda.

    Sesungguhnya tuhan kalian itu adalah Dzat Yang Maha Pemalu dan Maha Pemurah, DIA merasa malu terhadap hamba-Nya yang menadahkan tangannya kepada-Nya kemudian Dia mengembalikannya dengan hampa” ( hadis riwayat Ibnu Majjah)

    Yakinlah kepada ALLAH, berdoalah kepada-NYA.  Kerana kuasa mutlak penyembuh ada pada ALLAH. Jika kita berusaha berubat ke seluruh dunia pun,  jika tanpa doa dari kita dan perkenan dari-NYA, maka penyakit tetap tidak akan sembuh. Kerana itu, dalam rawatan kanser dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran ini, doa adalah ‘ubat’ terpenting selepas bacaan rangkaian ayat-ayat syifa’ kanser dari Al quran.

  5. Solat Tahajjud.

  6. Kajian menunjukkan, solat tahajjud yang diamalkan secara konsisten, berupaya meningkatkan sistem pertahanan diri (immunity) dimana kualiti oksigen yang sangat segar di waktu awal pagi yang di hirup khusus untuk hamba-Nya yang bangun untuk solat tahajjud.  Amalan ini amatlah digalakkan untuk dilakukan oleh pesakit disamping mengamalkan ayat-ayat Quran yang telah diberikan. Solat tahajjud mampu membina sistem pertahanan tubuh dari penyakit dari terus merebak, dan dalam masa yang sama, hati pesakit akan lebih tenang dan akan lebih positif terhadap ujian kanser tersebut. Solat tahajjud dilakukan di waktu malam sebaik sahaja selepas pesakit tidur untuk seketika. Aktiviti bangun malam dan membasahkan diri dengan wudhuk ini, memberi kesan yang amat positif kepada kesihatan seseorang secara umumnya, dan kepada pesakit itu sendiri secara khususnya. Sememangnya, solat pada waktu malam dan awal pagi dimana waktu dan persekitaran yang tenang, akan membawa kita jauh melayangkan jiwa ini agar hampir kepada ALLAH. Bacaan pula akan lebih kusyuk dan hati kita hadir dengan setiap bacaan tersebut. Firman ALLAH ;

    Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan..”  (Al Muzammil, 6)

  7. Solat Taubat.

  8. Solat taubat dapat membersihkan jiwa dan rohani seseorang. Apabila kita bertaubat kepada ALLAH dan memohon kepada ALLAH dengan seikhlas hati dan penuh tawadhuk dan rendah diri, isnya ALLAH taubat kita akan diterima. ALLAH itu maha pengampun lagi maha penyayang. Maka bertaubatlah kepadanya, agar diri dan jiwa kita dibersihkan, lalu penyakit kita disembuhkan dengan doa dan amalan yang berterusan. Amatlah penting untuk kita solat taubat memohon ampun kepada ALLAH. Kerana, musibah yang menimpa kita ini, adalah sebagai kafarah dosa-dosa kita yang terdahulu. Justeru, pintalah keampunan kepada ALLAH, dan bersegeralah melakukannya. Firman ALLAH ;

    maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat..” (An Nasr, 3)


    Maka, bersegeralah bertaubat, ingatlah, dosa-dosa kita merupakan penghalang kepada doa-doa kita. Dengan melakukan amalan ini, disamping mendapat kemapunan ALLAH, dengan izin ALLAH doa kita akan dimakbulkan, serta ALLAH akan mendengar rintihan penyakit kita agar disembuhkan insya ALLAH. Amat penting untuk kita sedari bahawa penyakit datang dari ALLAH, dan penawar juga disisi ALLAH, pintalah keampunan dari-NYA, dan sujudlah! Berdoa kepada ALLAH agar kanser kita tersebut disembuhkan dengan izin dari-NYA. Pesakit dinasihati agar melakukan solat taubat ini sebanyak yang termampu, lebih baik jika dapat diamalkan pada setiap malam. Dan, pada sujud yang terakhir itu, pesakit berdoalah kepada ALLAH didalam hati, agar diampunkan segala dosa, dan diangkat segala penyakit yang menimpa. Percayalah, telah ramai pesakit saya yang melakukan amalan ini dan merasakan sendiri hasilnya. Tidak perlu kita ragu kepada kuasa ALLAH. Kerana kuasa kesembuhan itu hak mutlak ALLAH, kita merancang dan berusaha, seterusnya kita pulangkan tawakkal kepada-NYA. Insya ALLAH pesakit akan merasai hasilnya.

    “Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Adalah Rasulullah s.a.w. membaca ketika sujud : "Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku, baik yang kecil maupun yang, besar yang mula-mula dan yang penghabisan, yang terang-terangan dan yang tersembunyi." (Hadis sahih riwayat Muslim)

  9. Solat Hajat.

  10. Solat ini dilakukan selepas solat taubat. Setelah menyesal dan mengakui segala dosa kita, maka selepas itulah kita pohon dan pinta kepada ALLAH agar disembuhkan sakit yang menimpa diri. Sebaik-baik cara memohon, adalah bersolat hajat, dan sebaik-baik masa memohon didalam solat hajat adalah semasa sujud. Pintalah kepada ALLAH dengan penuh keyakinan, ALLAH pasti akan kabulkan.

  11. Zikir tahlil (La Ila ha Illa ALLAH)

  12. Kalimah mulia ini bermaksud tiada tuhan yang disembah selain dari ALLAH. Tiap kali berzikir tahlil ini, hati kita mengingati ALLAH, dan menafikan tuhan yang lain, selain dari ALLAH. Kadangkala, musibah yang menimpa kita ini adalah sebagai cemeti, untuk memukul kita supaya kembali pulang kepada ALLAH. Kerana itulah saya menekankan amalan-amalan zikir ini agar pesakit kembali menghampirkan diri dengan ALLAH seterusnya memohon agar penyakit itu disembuhkan. Pesakit digalakkan berzikir sepanjang masa. Dan sebaik-baik zikir adalah didalam hati. Kajian sains juga turut mendapati, dengan berzikir tahlil ini, perjalanan darah akan lebih lancar didalam tubuh. Jadikanlah hati kita ini sentiasa berzikir mengingati tuhan. Amalan itu akan membuatkan jiwa kita menjadi tenang. Dan, ketenangan merupakan nilai paling berharga untuk seseorang pesakit kanser. Kanser mampu pasif didalam tubuh andai pesakit itu tenang, sebaliknya, kanser yang telah pasif juga mampu kembali aktif seandainya pesakit itu stress dan berada dalam tekanan emosi dan fikiran. Jadi, sebagai seorang Islam, terapi paling baik untuk menjadikan hati kita tenang adalah dengan berzikir mengingati ALLAH pada setiap masa.

    Firman ALLAH ; “orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah (zikiruallah). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram..” (Ar Ra’ad, 28)

    Dalam kaedah rawatan perubatan Al Hidayah, pesakit sendiri yang perlu membaca rangkaian ayat-ayat suci Al Quran dan bukannya perawat. Perawat hanya berperanan memeriksa pesakit dan memberikan rangkaian ayat-ayat yang perlu dibaca oleh pesakit, seterusnya pesakit sendirilah yang perlu berusaha membacanya.

    Kaedah ini tampak berbeza dengan kaedah rawatan alternatif lain dimana perawat yang membacakan ayat-ayat Ruqyah kepada pesakit, dan pesakit hanya meminum air jampi atau tidak perlu berusaha sendiri. Menerusi kaedah perubatan Al Hidayah ini, pesakit perlu berusaha membaca ayat-ayat suci Al Quran yang diberikan dan memohon kesembuhan dari ALLAH s.w.t sendiri.

    Seperkara lagi, jika kita membaca terjemahan ayat-ayat Al Quran yang diberikan kepada pesakit, terjemahannya memang tidak ada kena mengena dengan sakit yang sedang dihidapi tersebut atau berkaitan dengan mana-mana proses penyembuhan. Akal fikiran kita tidak mampu untuk mengkaji secara ilmiah hubungan antara ayat-ayat ini dengan jenis-jenis kanser yang dihidapi. Namun, inilah mukjizat Al Quran. Hanya ALLAH yang tahu hikmahnya. Apa yang pasti, ramai pesakit yang mengamalkan ayat-ayat ini telahpun menemui jalan keluar dari belenggu kanser dengan izin ALLAH, ada diantara mereka yang telah sembuh dari kanser dan ada juga yang sedang meniti jalan kesembuhan, berkat dari Al Quran, dan dengan Izin dari ALLAH.

    Cara yang terbaik adalah pesakit perlu berjumpa dengan saya dahulu supaya saya dapat “diagnosis” dan kenal pasti tahap sakit kanser yang dialami atau dimana kanser itu telah merebak. Dalam proses perubatan ini saya akan mulakan dengan doa kepada ALLAH untuk menyembuhkan sakit yang dialami pesakit. Kemudian saya akan fokus kepada bahagian anggota badan yang diserang kanser. Misalnya, jika kanser tersebut menyerang dibahagian paru-paru pesakit, fokus saya adalah kepada paru-paru pesakit itu. Proses rawatan ini adalah sangat kritikal, dan kerana itu saya galakkan pesakit berjumpa saya 4 atau 6 minggu sekali untuk meneruskan terapi dan dapat saya berikan ayat-ayat yang baru untuk dibaca dan diamalkan pesakit. Untuk keterangan lanjut mengenai perubatan ini boleh didapati dari buku saya yang berjudul “Quranic Medicine in Healing Cancer” yang Insha Allah akan dipasarkan pada Januari 2013.

 
Misi Kami
Derma Online
Bayar Online