Penyakit Sawan (Epilepsi)
( 87 Votes )
Monday, 13 May 2013 16:56

Soalan :

Assalamualaikum. Saya Kamarul Ariffin dari Pekan, Pahang. Saya mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit sawan sejak umur empat bulan. Sekarang umurnya dah enam tahun dan masih kerap diserang sawan purata empat atau lima kali dalam seminggu. Buat masa ini, anak saudara saya masih bergantung pada ubat sawan yang dibekalkan oleh pihak hospital. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah ini dan dapatkah perubatan menggunakan kaedah Al-quran menyembuhkan pesakit sawan. Terima kasih.

Jawapan :

Waalaikummussalam. Sepanjang pengalaman saya merawat penyakit sawan, memang terdapat beberapa jenis penyakit sawan. Kebanyakkan bayi atau kanak-kanak mengalami sawan tangis, sawan tarik. Penyakit sawan ini, dan ada yang bersifat sementara dan ada yang mengambil masa untuk kembali normal.

Ada di antara mereka yang memiliki tanda-tanda masalah sawan yang kronik dan ada juga yang masih di peringkat awal masalah sawan. Umur anak-anak tersebut turut berbeza-beza; dari mereka yang berumur dari enam bulan sehinggalah kepada mereka yang sudah berumur lewat dua puluhan. Kadang-kala, bukan sahaja pesakit sawan yang mendapat rawatan daripada kami tetapi ibubapa dan ahli keluarga mereka turut mendapat rawatan oleh sebab tekanan yang kuat daripada penjagaan pesakit sawan tersebut.

Maka, sifat sabar daripada ibubapa & ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan yang terbaik buat pesakit sawan. Ingatlah bahawasanya Allah sentiasa bersama mereka yang bersabar. Seperti di dalam firman Allah Subhanahu Wa Taala :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.” - Surah Al-Baqarah Ayat 153

Sebaiknya, bawa anak anda ke klinik Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk didiagnos dan rawatan. Ini adalah kerana ramai pesakit sawan yang telah datang berubat dan banyak perubahan yang dapat dilihat dimana kekerapan serangan semakin berkurang dan ada juga yang telah sembuh sepenuhnya inshallah dengan keizinan Allah swt.

Pengenalan & Ciri-ciri Umum

Sawan atau dikenali juga sebagai epilepsi adalah sejenis penyakit akibat rangsangan ketidakseimbangan isyarat elektrik (impulse) di dalam otak. Hal ini boleh disebabkan kerosakan otak akibat kecederaan semasa atau selepas kelahiran, akibat tumor, demam ketika berusia kanak-kanak atau disebabkan oleh jangkitan.

Serangan sawan berbeza daripada intensiti dan frekuensi yang berubah daripada kehilangan memori ringan yang lebih dikenali sebagai absences sehingga konvulsi (jatuh atau goncangan badan) yang berlaku beberapa kali dalam masa satu hari. Tekanan, demam dan pengambilan alkohol berlebihan adalah berpotensi untuk menyebabkan serangan sawan.

Adakalanya sawan adalah disebabkan daripada keturunan, dan sehingga kini tiada penyebab utama sawan yang dapat dikesan. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan serangan sawan dan keadaan ini mendorong doktor untuk mengawal penyakit ini melalui diet.

Terdapat berbagai jenis sawan yang pernah kita dengar seperti sawan tangis yang menyerang bayi, sawan tarik, sawan babi dan banyak lagi yang menyerang orang dewasa. Dunia perubatan moden mengklasifikasikan jenis-jenis sawan ini kepada tiga kategori seperti di bawah:

  • Sawan Menyeluruh/Generalise (melibatkan keseluruhan otak, kadangkala dipanggil Grand Mal atau Sawan Tonik-Klonik)

Sawan jenis ini akan menyebabkan pesakit kaku, rebah dan tidak sedarkan diri, dan mungking badan akan mula bergoncang, atau mengalami konvulsi dan meronta-ronta. Serangan biasanya berlaku dalam lingkungan 5 minit, tetapi kebanyakan pesakit kemudiannya akan tertidur buat setengah jam atau  lebih dan bila terjaga seolah-olah termenung dan bingung buat seketika

  • Sawan Sebahagian (juga dikenali sebagai Sawan fokal/partial kompleks atau Gangguan Psikomotor)

Sawan jenis boleh mengakibatkan pesakit berada dalam keadaan tersangat bingung, dan tidak mengecam persekitarannya dan tidak sedar apa yang sedang dilakukannya. Pesakit mungkin marah atau berkasar sekiranya anda cuba memberhentikan perbuatannya

  • Sawan Ketiadaan (Absence Seizure atau Epilepsi Petit Mal)

Ini banyak terjadi di antara penuntut-penuntut sekolah rendah, dan pesakit akan berada dalam keadaan tidak sedar diri dalam masa yang agak singkat (dalam masa 30 saat), tidak melibatkan jatuh atau goncangan badan (konvulsi). Separuh dari kanak-kanak yang mengalami sawan jenis ini beransur pulih apabila mereka semakin dewasa

Punca-punca

Masalah penyakit sawan ini berlaku tanpa mengira kira faktor bangsa, latar belakang pendidikan dan kedudukan status sosial ekonomi. Lebih separuh daripada kes sawan tidak mempunyai punca yang dikenal pasti. Kebanyakkan kes yang lain, keadaan boleh dikesan daripada pelbagai faktor.

  • Pengaruh genetik. Sesetengah jenis sawan ada sejarah dalam keluarga, menjadikan ia mungkin terdapat pengaruh genetik. Penyelidik telah mengaitkan beberapa jenis sawan dengan gen tertentu
  • Trauma di kepala yang dialami semasa kemalangan kereta atau kecederaan trauma lain boleh menyebabkan sawan
  • Gangguan perubatan. Penyakit seperti strok atau serangan jantung boleh menyebabkan kerosakan kepada otak dan boleh menyebabkan sawan
  • Demensia adalah punca utama sawan di kalangan orang dewasa yang lebih tua
  • Penyakit seperti meningitis, AIDS dan virus ensefalitis juga boleh menyebabkan sawan
  • Kecederaan pranatal. Sebelum lahir, bayi terdedah kepada kerosakan otak yang disebabkan oleh jangkitan pada ibu, pemakanan atau kekurangan oksigen. Kira-kira 20 peratus daripada sawan pada kanak-kanak berkaitan dengan cerebral palsy atau masalah neurologi yang lain
  • Masalah pembangunan - Sawan kadang-kadang boleh dikaitkan dengan gangguan perkembangan yang lain, seperti Autisme dan Sindrom Down

Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat pesakit sawan, terdapat kes-kes yang melibatkan elemen gangguan makhluk halus atau serangan jin yang menyebabkan masalah sekatan pada sistem saraf sehingga berlakunya serangan sawan. Ini adalah kerana serangan jin menyebabkan rangsangan yang tidak seimbang kepada isyarat elektrik (impuls) di dalam otak.

Tanda-tanda awal Penyakit Sawan

Gejala penyakit sawan adalah berbeza-beza. Ia bergantung kepada jenis sawan itu sendiri. Dalam kebanyakan kes, pesakit sawan akan mempunyai jenis trend serangan yang sama pada setiap masa, jadi tanda-tanda akan menjadi sama dari episod ke episod. Ramai juga menyangka bahawa penyakit sawan yang juga dikenali epilepsi adalah sama dengan penyakit demam sawan. Walaupun tanda-tanda penyakit sawan hampir sama dengan penyakit demam sawan, setiap ibu bapa perlu peka dan tahu membezakan antara penyakit sawan dan demam sawan. Penyakit demam sawan ialah serangan yang berpunca daripada demam yang tinggi pada kanak-kanak berumur antara 6 bulan hinggalah 5 tahun. Berbanding penyakit sawan yang biasanya menyerang orang dewasa disebabkan faktor semulajadi dan juga tekanan mental yang tinggi.

Gejala sawan mungkin sukar untuk dikenal pasti di kalangan kanak-kanak kerana tidak semua sawan ada tanda yang jelas. Kadang-kadang gejala jauh lebih halus, dan tanda-tanda tersembunyi sering muncul dalam tingkah laku kanak-kanak yang kelihatan normal. Sebagai contoh, sesetengah sawan menyebabkan pesakit suka berkhayal atau sawan yang menyebabkan anak kecil untuk tersandung dan jatuh mungkin kelihatan normal. Apabila tingkah laku ini kerap berlaku atau dalam corak yang sama, mungkin bermakna bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai sawan.

Sawan juga boleh menjadi sukar untuk didiagnos di kalangan kanak-kanak kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan jelas atas pengalaman yang mereka lalui. Tanda-tanda yang mungkin bermakna kanak-kanak kecil mempunyai sawan termasuk seperti berikut:

  • Merenung kosong yang kelihatan seperti berkhayal
  • Jatuh secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas
  • Kurang tindak balas untuk tempoh singkat
  • Mengantuk dengan berlebihan
  • Mengangguk-angguk dengan berulang-ulang
  • Mata berkelip laju
  • Sakit perut secara tiba-tiba diikuti oleh kekeliruan dan mengantuk
  • Kerap berlaku kecuaian bila melakukan sesuatu
  • Tiba-tiba takut tanpa sebab yang jelas

Kadang kala sawan bermula di zaman remaja. Serangan ini juga mungkin sukar untuk dikenali, dan sering disalah tafsir sebagai masalah psikologi atau berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Berikut boleh menjadi tanda-tanda bahawa remaja mempunyai sawan:

  • Merenung kosong, diikuti oleh mengunyah, membelek pakaian, membebel atau pergerakan rawak
  • Ketakutan secara tiba-tiba, kemarahan atau keresahan tanpa sebab yang jelas
  • Otot, anggota atau badan bergoncang atau mengigil (seizure), terutama pada awal pagi
  • Terdapat perubahan deria seperti perkara yang kelihatan (halusinasi), bunyi (skizophrenia), bau atau berasa pelik atau berbeza
  • Masalah memori atau kerap lupa
  • Tidak dapat bercakap atau berkomunikasi secara biasa untuk masa yang singkat

Kehadiran tanda-tanda yang disenaraikan di atas tidak semestinya bermakna anak anda atau anda mempunyai sawan, walau bagaimanpun gejala-gejala ini perlu diberi perhatian serius dan berjumpalah doktor atau datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Rawatan moden

Doktor biasanya bermula dengan merawat sawan melalui ubat-ubatan. Jika masih tidak berkesan, pihak hospital boleh mencadangkan pembedahan atau kaedah rawatan yang lain. Kebanyakan pesakit boleh menjadi bebas sawan dengan menggunakan ubat anti-epileptik. Jika ubat-ubatan anti-epileptik tidak memberikan hasil yang memuaskan, doktor anda mungkin mencadangkan pembedahan atau terapi lain.

Pembedahan akan dilakukan apabila ujian menunjukkan bahawa serangan berasal dari kawasan yang kecil di dalam otak dan tidak mengganggu fungsi penting seperti pertuturan, bahasa atau pendengaran. Semasa pembedahan, doktor membuang bahagian otak yang menyebabkan sawan. Jika serangan berasal di bahagian otak yang tidak boleh dikeluarkan, doktor boleh mencadangkan jenis pembedahan di mana pakar bedah membuat satu siri bukaan atau potongan di dalam tisu otak. Bukaan atau potongan yang direka itu adalah untuk mencegah sawan daripada merebak ke bahagian otak lain.

Terapi rangsangan saraf melibatkan alat dipanggil perangsang saraf vagus yang ditanam di bawah kulit dada seperti perentak jantung. Wayar dari perangsang yang dibalut di sekeliling saraf vagus di leher dengan peranti bateri menyampaikan dan mengawal tenaga elektrik kepada otak melalui saraf vagus. Ia tidak jelas bagaimana ini menghalang sawan, tetapi peranti boleh mengurangkan sawan sebanyak 20 hingga 40 peratus.

Kanak-kanak yang mengidap sawan akan dapat mengurangkan serangan mereka dengan mengekalkan diet yang ketat seperti tinggi lemak dan rendah karbohidrat. Diet ini, yang dipanggil diet ketogenic, ia menyebabkan badan memecahkan lemak dan bukan karbohidrat untuk tenaga. Sesetengah kanak-kanak yang mengamalkan diet ketogenic selepas beberapa tahun berjaya kekal bebas tanpa serangan sawan.

Rawatan Penyakit Sawan Dengan Menggunakan Ayat-ayat Al-Quran

Seperti yang diterangkan di atas, maka jelaslah bahawa wujudnya gangguan pada sistem saraf pesakit sawan. Namun punca sebenar masih belum dapat disahkan sepenuhnya dan terdapat banyak hadis mengenai penyakit sawan yang menyebut tentang gangguan jin keatas pesakit sawan.

Diriwayatkan daripada Nabi Suliaman bin Daud a.s. bahawa baginda telah melihat seorang perempuan tua yang sudah beruban rambutnya, dua matanya berwarna biru, kedua-dua keningnya bertanduk, kecil betisnya, rambutnya kusut masai, mulutnya ternganga dan keluar pucuk api daripadanya, dapat membelah bumi dengan menggunakan kukunya yang tajam dan boleh memecahkan batu-batan yang besar dengan pekikan suaranya.

Nabi Allah Sulaiman bertanya kepadanya, siapakah kamu? Adakah kamu daripada jenis manusia atau jin? Kerana aku tidak pernah melihat orang yang paling hodoh selain daripada engkau. Perempuan itu menjawab: “Akulah Ummu Sibyan (Jin ibu penyakit sawan) yang dapat menguasai ke atas anak Adam lelaki dan perempuan, …”

Dari Husain bin Ali r.a., ia berkata bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan itu di azankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan (jin ibu sawan) tidak akan menganggunya.”

Abu Sulaiman berkata bahawa apabila sekumpulan sahabat berada dalam perjalanan (musafir) dan bertemu dengan orang yang terkena serangan sawan, yang tidak sedarkan diri. Salah satu sahabat membacakan Surah Al-Fatihah dan meniup di telinga beliau. Orang sawan itu segera sembuh. Apabila Nabi Muhammad s.a.w. dimaklumkan mengenai perkara ini, beliau berkata: "Ia (Surah Al-Fathiha) adalah" Ibu Al-Quran "(Ummu al-Qur'an) dan merupakan penawar untuk setiap penyakit."

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit sawan akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:

  • Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37
  • Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99
  • Surah Al-A’raaf ayat 43 hingga 56
  • Surah Ambiya ayat 74 hingga 81

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Hijr tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.

Adalah lebih baik sekiranya pesakit datang berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat Al-Quran yang lain yang boleh merawat gangguan tersebut. Ini kerana terdapat banyak kes di mana setelah pergi ke hospital dan mendapat rawatan dan ubat-ubatan namun tetap mengalami serangan sawan seperti sering kejang, mengigil dan berkhayal.

Penutup

Kepada semua pesakit sawan, janganlah berputus asa dalam mencari cara dan berikhtiar untuk merawat penyakit sawan. Janganlah menganggap penyakit sawan itu tidak dapat lagi ditolong dan hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.

"Kami menurunkan dari Al Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.."-Al-Israa', 17:82

Dalam pengalaman kami merawat pesakit sawan, ramai di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan yang positif dari segi emosi, mental dan fisikal. Ada daripada pesakit kami yang mula mendapat rawatan daripada umur seawal sebulan sehinggalah umur 40 tahun.  Kebanyakkan pesakit dewasa dapat merasakan perbezaan ketara seperti kurangnya kekerapan serangan dan tempoh serangan juga menjadi lebih singkat dan dengan izinNya bebas sepenuhnya dari sawan setelah berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Yang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah swt. Maka, jikalau ada masanya kita merasakan masalah sawan itu sudah tidak dapat lagi kita tahan dan perasaan putus asa mula menguasai perasaan kita, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa-apa yang berlaku merupakan suatu ujian daripada Allah swt.

InshaAllah, dengan izin dan kuasa Allah swt, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh membantu pesakit yang mempunyai masalah penyakit sawan ini.

 
Misi Kami
Derma Online
Bayar Online