Rawatan Ketagihan Dadah
( 103 Votes )
Thursday, 18 July 2013 14:04

Soalan

Assalamualaikum Tuan Haji. Nama saya Puan Izzati. Saya seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 20 tahun yang mengalami masalah ketagihan dadah. Anak saya telah terjebak dalam penagihan dadah jenis syabu lebih kurang 2 tahun lepas. Saya sudah banyak berikhtiar cara perubatan moden dan juga cara tradisional, namun masih belum jumpa penyelesaian untuk memulihkan anak saya. Saya mohon jika pihak Pusat Rawatan Islam Al Hidayah dapat membantu memberikan ayat-ayat al-Quran yang boleh memulihkan anak saya dari masalah ketagihan najis dadah ini.   

Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh pembaca-pembaca akhbar Mingguan Malaysia. Bersama-samalah kita merebut ganjaran gandaan pahala dibulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

Di sini, saya juga ingin memohon maaf kepada pembaca-pembaca yang telah mengirimkan e-mail kepada saya tetapi masih belum sempat di balas. Saya akan cuba respon kepada ratusan e-mail pertanyaan yang di hantar setiap minggu. Insya-Allah.

Terima kasih Puan Izzati atas soalan yang diberikan. Masalah penyalah gunaan dadah adalah gejala sosial  yang sukar dibendung di negara kita malah di seluruh dunia. Gejala penagihan dadah adalah antara gejala sosial yang semakin berleluasa dan melibatkan ramai pihak terutamanya golongan remaja. Dadah dapat diistilahkan sebagai sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi rohani (mental), jasmani (fizikal) dan emosi serta tingkah laku pengguna apabila menggunakannya. Antara jenis dadah yang dikenalpasti ialah heroin, morfin, ganja, kokain, kanabis, dan dadah sintetik seperti syabu atau Amphetamine Type Stimulant (ATS).

Statistik Penggunaan Dadah

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), secara purata seramai 620 penagih baru dan 360 penagih berulang dikesan setiap bulan.  Jika dibandingkan statistic penagihan mengikut umur bagi bulan Januari hingga Mac 2013, golongan belia merupkan golongan yang paling ramai terdedah (73%) berbanding dengan golongan dewasa (23%).  Golongan belia ini berumur antara 19 tahun hingga 39 tahun.  Megikut kajian AADK, jenis dadah yang paling banyak digunakan adalah jenis heroin (45%), diikuti dengan morfin (32%), ganja (16%) dan yang membimbangkan jenis ATS seperti syabu ini makin meningkat (7%).
Dalam kes anak Puan Izzati, pengambilan dadah jenis "ice", yang juga dikenali sebagai syabu, atau ‘meth’ (singkatan kepada nama scientificnya Methamphetamine) adalah popular di kalangan belia di bandar dan luar bandar. Senario di Malaysia menunjukkan peratusan penyalahgunaan dadah jenis sinthetik ini di kalangan belia dan remaja, menunjukkan peningkatan dan keadaan ini amat membimbangkan kerana mereka merupakan aset terpenting sesebuah negara.
Dadah Dari Sudut Pandangan Islam

Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman ini bersandarkan kepada keterangan nas-nas (Al-Quran dan Al-Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama, iaitu memabukkan atau terdapat dan membawa kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat.

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan……" - Surah Al-Baqarah : 195

Tindak Balas Syabu Di Dalam Badan

Kesan keseronokan (khayal) akibat pengambilan syabu menyebabkan individu itu akan mengambil dadah itu secara berterusan. Kesan ini dipercayai akibat rangsangan terhadap ‘Dopamine’ iaitu penghantar neuron ke otak yang bersifat perangsang. Syabu perlu diambil berterusan bagi terus merangsang ‘Dopamine’. Syabu tidak perlu diambil setiap hari berbanding pengambilan heroin dan morfin. Cukup sekadar dua kali dalam seminggu dan ia boleh membuatkan pengguna ketagihan.

VcN5PJika penagih berhenti mengambil syabu, kadar ‘Dopamine’ dalam otak berkurangan sehingga mencetuskan pelbagai masalah kesihatan dan mental. Untuk mengembalikan Dopamine kepada kadar normal seperti manusia biasa, ia memerlukan rawatan dan meninggalkan syabu selama setahun.  Penagih syabu yang ingin meninggalkan ketagihan syabu tidak ada jalan singkat dan mudah, melainkan terpaksa menanggung seksaan akibat dari penagihan tersebut.

Kesan Pengaruh Syabu Kepada Penggunanya

Mental dan emosi

Kesan mungkin menjadi gila akibat halusinasi dan delusi (kekeliruan) sehingga mampu membunuh diri, gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas. Prasangka buruk kepada orang lain, mendengar bisikan dan  sentiasa dalam ketakutan seperti ada orang yang  mengejar dan mengintip. Pada dos yang tinggi menaikkan suhu badan kepada tahap membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.

Fizikal

Pengguna tidak tidur selama tiga sehingga 15 hari, hilang selera makan dan berat badan menurun, berpeluh, pucat, pengabaian kesihatan diri, berparut dan luka di badan (kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya), kurang daya tahan melawan penyakit akibat pengabaian kesihatan dan lumpuh.

Pengalaman Merawat Pesakit Penagih Syabu di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah

Ini adalah kisah benar mengenai seorang pesakit kami bernama Farid (bukan nama sebenar) berusia 27 tahun.  Beliau sejak dari kecil lagi telah dibekalkan dengan pengetahuan dan ilmu agama yang cukup oleh ibubapanya, sehinggalah beliau berjaya menjejakkan kaki ke universiti dan bergelar graduan. Beliau menyangka dengan ilmu yang dibekalkan, beliau akan menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan. Malangnya beliau kecundang kepada nafsu dan bisikan syaitan.

Kehancuran hidup Farid bermula apabila beliau mula belajar menghisap rokok bersama kawan-kawan semasa belajar di pusat pengajian tinggi dengan tujuan untuk menghilangkan tekanan pelajaran. Beliau terus hanyut dan mencari keseronokan bersama kawan-kawan apabila pergi ke kelab-kelab malam. Farid mula mengambil pil ‘ecstasy’ di kelab, kononnya mengikut trend zaman sekarang.

3060254022 4cd2632934Pada mulanya, Farid teragak-agak untuk mengambil pil ini, tetapi dengan sedikit pujukan dan diyakinkan oleh kawan-kawannya bahawa pil ini tidak membuatkan ketagihan dan hanyalah untuk memberi mood untuk berparti. Bermulalah episod baru dalam hidup Farid. Beliau akan mengambil pil ‘ecstasy’ setiap kali keluar bersuka-ria bersama kawan-kawan di kelab-kelab malam.
Keinginan untuk berhibur membuatkan Farid dan kawan kawan mencari jalan baru untuk bergembira dengan mengadakan "house party" yang lebih ‘privacy’ dan tidak diganggu oleh pihak berkuasa. Di "house party" ini beliau mula mengenali dadah syabu.

Ketika ini beliau menyesal kerana terpaksa berperang dengan ketagihan. Selama 5 tahun beliau hidup menagih syabu. Semasa menagih syabu, Farid mula menipu ibubapa untuk mendapatkan duit dengan alasan untuk menampung kos pembelajaran. Semasa mula mendapat kerja, beliau meminjam dengan ahli keluarga dengan alasan baru bekerja banyak duit diperlukan untuk membayar deposit rumah sewa dan pelbagai alasan. Farid juga menipu rakan sekerja dengan meminta derma kononnya ibunya mengidap barah payu dara banyak duit diperlukan untuk kos rawatan.

Beliau juga pernah mencuri telefon bimbit kawan sepejabat dan menjualnya untuk membeli  syabu. Pernah sekali beliau mengorek tabung derma surau di pejabat untuk membeli syabu. Sewaktu itu, apa sahaja yang boleh dijadikan sebagai sumber untuk mendapatkan duit bagi membeli syabu beliau akan lakukan.  Lama kelamaan tembelang Farid pecah. Semua rakan-rakan sanak saudara menjauhinya.  Beliau di buang kerja dan tiada pendapatan lagi.

Farid kemudian tinggal bersama-sama ibunya. Ibunya terpaksa menghadapi sikap Farid yang  menipu, mencuri duit ibu dan bapanya serta duit belanja sekolah adiknya.  Beliau mengamuk, mengugut unuk membunuh diri jika tidak diberikan wang untuk membeli syabu. Beliau juga bercakap sendirian, bergaduh dengan jiran tetangga, boleh dikatakan semua orang membencinya.

Akhirnya, Ibu Farid datang ke pusat rewatan kami di Setiawangsa untuk membuat rawatan tanpa membawa Farid. Ibunya yakin dengan janji janji Allah dalam Al Quran bahawa penawar segala penyakit adalah Al Quran. Ibunya terus beramal dengan surah-surah yang diberi dan berdoa kepada Allah SWT, agar anak kesayangannya itu satu hari akan berubah dan meninggalkan tabiat mengambil dadah.

Hampir setiap bulan ibunya datang mengambil surah-surah amalan untuk Farid.  Atas doa setiap hari yang dipohon oleh seorang ibu, akhirnya pada  bulan ke-5, Farid sendiri menghadirkan diri ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan rela hati untuk membuat rawatan memulihkan dirinya.  Farid dengan penuh keazaman ingin bertaubat dan berhenti dari menagih syabu.

"Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - Surah Az-Zumar: 53

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan kepada semua hamba-hambanya yang melakukan kesilapan yang ingin kembali ke pangkal jalan. Menurut ibu Farid, sewaktu mula mengamalkan surah-surah amalan, sikap Farid beransur-ansur berubah dari aggresif, suka mengamuk, pemarah kepada yang lebih tenang hingga terkeluar dari mulutnya sendiri untuk berubat dan memulihkan dirinya.   

Alhamdulillah, kini Farid sudah 80% pulih, beliau bersungguh-sunguh bertaubat tidak akan mengulami kesilapan lampaunya.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." - Surah Al Baqarah: 222

Farid telah memulakan kehidupan baru. Beliau mula bekerja dan masih datang ke pusat rawatan kami untuk membuat rawatan  dan beramal dengan surah-surah Al Quran yang diberi.  Sesungguhnya tindakan Farid dan ibunya menepati seruan dan perintah tegas Allah dalam Al-Quran yang memberi perhatian besar terhadap taubat.   

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" - Surah At Tahrim: 8

Ini adalah perintah yang tegas dari Allah SWT dalam Al Quran kepada manusia untuk melakukan taubat dengan taubat nasuha,  iaitu taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, berazam menghapus keburukan-keburukan yang pernah dilakukan sebelumnya, mengembalikan fitrah kemurnian jiwa. Oleh karena itu, kita hendaklah berusaha dan berdoa kepada Allah  membantu diri kita sentiasa bertaubat kepada-NYA.

Antara Surah Surah Amalan

  • Surah At Taubah (Ayat 28 hingga ayat 36)
  • Surah At Taubah (Ayat 60 hingga ayat 70)
  • Surah Hijr (Ayat 66 hingga ayat 99)
  • Surah Al Hajj (Ayat 40 hingga ayat 55)

 

Nasihat saya kepada Puan Izzati, sebaik-baiknya puan bawalah anak puan untuk hadir ke Pusat Rawatan kami di Setiawangsa bagi menjalani sesi rawatan dan kaunseling. Saya dan perawat-perawat lain bersedia memberikan kerjasama yang sewajarnya terhadap masalah ini. Insya-Allah, kita bersama-sama berusaha dan bertawakal kepada Allah agar ketagihan anak puan dapat di atasi.  Cara rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah tidak menggunakan fizikal terapi atau penggunaan ubat-ubat tradisional, ia hanya bergantung 100% dengan ayat-ayat Al-Quran yang bersesuaian kepada pesakit dan penyakit yang dialaminya.  Pesakit dikehendaki mengamal ayat-ayat yang diberi dan berdoa kepada Alllah SWT apa yang dihajati.

Sememangnya penyakit melawan nafsu ketagihan dadah adalah penyakit yang paling sukar dan memerlukan kesabaran, ketabahan dan jati diri yang tinggi. Pihak keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam memulihkan ahli keluarga yang telah menjadi penagih dadah dalam memberikan galakan motivasi. Bekas-bekas penagih yang telah melalui rawatan haruslah diterima balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Perasaan prasangka buruk terhadap para penagih menjadikan mereka berasa tersisih dan akan mudah kembali kepada penyalahgunaan dadah. Kita harus sedar dan memberikan mereka harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan baru.

 
Misi Kami
Derma Online
Bayar Online