Saka Keturunan
( 16 Votes )
Thursday, 11 April 2013 11:52

Soalan:

Salam Tuan Haji Lokman. Nama saya Zulkarnian Zamzuri dari Balek Pulau, Penang. Umur saya 30 tahun. Saya mempunyai 4 adik beradik dan saya anak yang kedua dalam keluarga saya. Disini saya hendak bertanya adakah saya terkena gangguan sihir atau gangguan saka. Sejak ayah saya meninggal dunia 3 tahun yang lepas, kesihatan saya selalu terganggu. Kadang-kadang saya tidak boleh tidur malam, mimpi yang menakutkan, sakit di sendi-sendi terutama di bahagian pinggang dan tengkuk, dan fikiran saya kebingungan. Susah untuk saya hendak fokus dan membuat sesuatu kerja.

Prestasi kerja saya merosot dan kadang-kadang saya merasa diri saya kosong dan tidak bersemangat. Saya sudah pergi berjumpa beberapa doktor pakar dan semua mengatakan saya sihat dan tidak ada apa-apa penyakit fizikal dan ada daripada mereka berpendapat saya menghadapi sakit kemurungan. Saya pernah berjumpa dengan seorang Ustadz di kampong saya dan dia memberitahu saya ada gangguan saka dari keturunan saya. Saya minta penjelasan dari Tuan Haji.

Jawapan:

Gangguan makhluk halus, penyakit yang boleh dikira sebagai dominan dalam masyarakat Melayu kita, sejak dari dulu, hinggalah ke era moden seperti hari ini. Setiap hari perawat-perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah pasti akan bertemu dengan pesakit yang mengalami masalah gangguan makhluk halus. Antara gangguan yang sangat popular yang selalu dikenal pasti adalah gangguan saka. Pesakit tersebut kadang-kala tidak terfikir bahawa sakit-sakit yang dialami oleh mereka bertahun-tahun lamanya dan tidak sembuh-sembuh walaupun sudah mendapat rawatan moden adalah disebabkan oleh gangguan saka. Banyak kali pesakit datang ke klinik kami untuk berubat sakit-sakit sendi atau urat saraf, tetapi apabila dikenal pasti penyakit yang dialami sebenarnya adalah gangguan saka.

Untuk pengetahuan pembaca, gangguan saka adalah merupakan jin-jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada seorang manusia lain sama ada secara disedari atau tidak disedari, dan biasanya melibatkan keturunan iaitu mempunyai pertalian darah yang sama. Dalam pengalaman saya mengeluarkan saka dari badan pesakit, kebanyakan daripada saka adalah dari keturunan sebelah keluarga bapa pesakit dan jarang sekali kami berjumpa saka yang berasal dari sebelah keluarga ibu pesakit. Kenapa ini berlaku adalah kerana pertalian darah dari bapa kepada anak-anak lebih kuat dari pertalian darah dari ibu kepada anak-anak.

Manakala  gangguan sihir pula, adalah gangguan jin dan iblis yang di hantar kepada sesaorang daripada seseorang yang mempunyai niat jahat melalui pengamal sihir. Selalunya pengamal-pengamal sihir ini menggunakan jin dan iblis untuk menganiayai seorang yang disasarkan oleh pelanggan mereka. Apa pun jenis jenama sihir yang ada sekarang di zaman moden seperti santau, susuk, ilmu kebal, ilmu pemisah dan pengasih, semuanya berlaku melalui campur tangan jin dan iblis ini yang berdamping dengan pengamal-pengamal sihir tersebut. 

Bukan semua anak-anak dalam keluarga itu boleh mewarisi saka keturunan dari keluarga itu. Jin–jin saka ini boleh memilih (“pick and choose”) anak-anak tuan mereka, untuk didampingi oleh mereka. Sukar untuk saya memberi penjelasan apakah kriteria-kriteria atau ciri-ciri yang ada pada anak-anak yang boleh membuat tubuh badan mereka ini senang didampingi oleh makhluk-makhluk halus ini. Tidak ada satu formula yang boleh kita guna pakai untuk meramal siapa antara ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini. Tidak semestinya anak yang sulung dalam keluarga itu atau hanya anak-anak lelaki sahaja yang selalu didampingi oleh jin-jin saka ini. Sehingga hari ini, kita masih belum memahami dengan jelas, bagaimana kaedah dan kriteria pemilihan ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini. Mungkin faktor-faktor seperti lemah semangat, kekuatan iman, kepercayaan kepada benda-benda khurafat seperti menyimpan senjata-senjata lama yang diwarisi dari keturunan mereka dan sebagainya.

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu suka memelihara dan berdamping dengan jin-jin kerana mempercayai jin-jin yang didampingi tersebut boleh menjadi pembantu mereka dalam kerja-kerja seharian. Sebagai contoh, terdapat kisah orang-orang tua dahulu yang berpesan kepada anak isteri mereka bahawa akan ada makhluk halus yang menjaga rumah mereka sepanjang tempoh si suami atau ayah tersebut keluar ke laut atau hutan untuk mencari rezeki. Kadang-kala, mereka ini menuntut apa-apa ilmu yang disangka sebagai ilmu dunia ghaib tanpa mengetahui bahawa untuk menguasai ilmu tersebut, mereka akan didampingi oleh jin-jin yang dianugerahkan oleh tok guru mereka tanpa mereka sedari.  Ilmu-ilmu tersebut seringkali melibatkan ilmu-ilmu seperti ilmu pendinding, amalan kebatinan, ilmu kecantikan seperti susuk, ilmu pelaris untuk memajukan perniagaan, ilmu untuk menundukkan kuasa seseorang, ilmu sihir pemisah atau sihir pengasih dan sebagainya.

 

APA ITU JIN?

Pada zaman moden sekarang  ramai di kalangan umat Islam yang hampir tidak dapat mempercayai wujudnya golongan jin-jin atau makhluk halus ini. Namun, golongan jin merupakan makhluk halus yang harus diyakini akan kewujudan mereka walaupun mata kasar manusia tidak dapat melihat jin-jin tersebut. Allah swt telah menyebut mengenai kewujudan jin-jin berulang kali di dalam Al-Quran dan salah satu daripada surah dalam AL-Quran sendiri dinamakan sebagai surah Al-Jinn.

Contoh dalil akan kewujudan jin adalah seperti di dalam firman Allah swt :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”Surah Az-Zariyat, ayat 56.

Selain itu di dalam surah Al-Hijr, ayat 27 Allah swt turut berfirman bahawa;

“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

Ramai pesakit yang dirasuki atau diganggu oleh jin mengadu tubuh badan mereka selalu rasa panas. Perkara ini dapat dijelaskan seperti yang disebut dalam ayat-ayat Al-Quran seperti diatas iaitu kejadian jin itu adalah daripada api. Banyak rencana-rencana yang ditulis oleh pemikir-pemikir Barat berkenaan “energy” yang dikeluarkan oleh benda-benda halus ini. “Energy” yang selalu dimaksudkan ini ialah bahang api dari unsur-unsur jin-jin tersebut.

Jin tidak mempunyai jasad seperti manusia sebab itu mereka dipanggil makhluk halus. Tidak mempunyai jasad bermakna mereka tidak ada darah, daging, tulang dan kulit seperti manusia. Oleh kerana mereka tidak ada jasad, mereka lebih fleksibel dari manusia, iaitu mereka boleh mengecilkan bentuk asal mereka sehingga mereka boleh memasuki tubuh manusia melalui saluran-saluran darah manusia and boleh hidup dalam badan manusia bertahun-tahun lamanya. Oleh kerana mereka tidak ada jasad mereka boleh bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat dengan kelajuan yang manusia tidak dapat tandingi.

“Berkata jin Ifrith bahawa saya akan mendatangimu dengannya (dengan membawa singgahsana Ratu Saba) sebelum engkau bangkit dari tempat duduk mu dan sesungguhnya saya kuat lagi terpercaya.”Surah An Naml, ayat 39

Jin mempunyai kebolehan untuk membaca pemikiran manusia. Dengan kebolehan ini mereka senang mempermainkan dan menipu manusia dan memberi segala tipu helah. Pernah suatu ketika, semasa saya sedang mengubati seorang pesakit yang dirasuk,  jin didalam tubuh pesakit itu memanggil nama penolong saya walaupun penolong saya tidak pernah kenali pesakit ini. Dan jin itu yang asalnya bertutur dalam bahasa melayu biasa dan tiba-tiba bertutur dalam dialek Terengganu dengan penolong saya yang berasal dari negeri Terengganu.

Kaum jin juga diberi keupayaan untuk bertutur dalam banyak bahasa. Ada diantara pesakit yang dirasuk di klinik kami boleh bertutur dalam bahasa Parsi lama, bahasa Siam, bahasa Korea, atau bahasa Inggeris walaupun asalnya pesakit itu seorang tua yang tidak bersekolah tinggi atau tidak pernah menguasai bahasa Inggeris. Saya sendiri  pernah merawat pesakit Melayu yang dirasuk dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan slang “Africa American”. Ini adalah kebolehan-kebolehan yang  diberi oleh Allah swt kepada kaum jin. 

Malah, Allah swt turut menyatakan di dalam AL-Quran bahawa walaupun manusia tidak dapat melihat golongan jin, makhluk halus tersebut pula boleh melihat manusia di muka bumi ini.

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” - Surah Al A'raf, Ayat 27


APA ITU IBLIS?

Iblis atau syaitan sebenarnya adalah berasal daripada golongan jin, yang asalnya merupakan hamba Allah swt yang sangat patuh dan taat kepada segala suruhan Allah swt. Sehinggakan Allah swt telah mengangkat tinggi akan darjat Iblis sebelum adanya Nabi Adam dan Hawa. Namun, selepas Iblis berdegil untuk tidak sujud kepada Nabi Adam sperti yang telah diarahkan oleh Allah swt, Iblis telah dilaknat dan Iblis telah berjanji untuk memusuhi dan menarik seramai mungkin umat manusia ke neraka bersama-sama iblis nanti.

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: Pengganti yang mereka pilih itu.” - Surah Al-Kahfi, Ayat 50

Umat islam secara umumnya mengetahui, bahawa Iblis tidak akan pernah redha dengan manusia. Sejak dibuang dari syurga, Iblis telah mengisytiharkan ‘perang’ habis-habisan terhadap anak cucu nabi adam (umat manusia) sejak dari awal hinggalah kiamat. Iblis akan sedaya upaya menghasut manusia agar terjerumus ke lembah binasa seperti bisikan-bisikan ke arah perkara mungkar, dan usaha-usaha syirik seperti yang kita bincangkan pada bab kali ini. Ikrar Iblis ini, ALLAH rakamkan di dalam Al Quran melalui firman-NYA dalam Surah Al Hijr ayat 39 ;

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya."Surah Al Hijr, Ayat 39

Iblis sememangnya makhluk ALLAH yang sangat licik, jika tidak, mana mungkin Iblis diangkat sebagai guru kepada para malaikat, malah iblis mampu memperdaya Nabi Adam, manusia pertama, yang diajarkan ALLAH dengan Ilmu dan hikmah.

Walau bagaimana licik dan cerdik Iblis itu, ia bukanlah ‘lesen’ untuk kita menuruti perbuatan dan hasutan Iblis, dan menjadi sebahagian dari pengikutnya. Sebagai seorang islam, kita wajib percaya dan yakin bahawa kuasa ALLAH adalah kemuncak segala kuasa, dan tiada bandingan. Jika seseorang manusia itu beriman, maka iblis tidak mampu untuk memperdayakan manusia itu, ini dibuktikan sendiri oleh firman ALLAH dalam Surah Saba ayat 21 :

“Dan tidak adalah kekuasaan iblis terhadap mereka, melainkan hanyalah agar Kami dapat membezakan siapa yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat dari siapa yang ragu-ragu tentang itu. Dan Tuhanmu Maha Memelihara segala sesuatu.”  -   Surah Saba, Ayat 21


Simptom Terkena Gangguan Jin

Mengikut pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, symptom-simptom gangguan jin di kalangan manusia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis gangguan yang antaranya adalah gangguan fizikal, mental, masalah keluarga, kesukaran mendapat zuriat, halangan rezeki dan sebagainya.

Antara contoh-contoh gangguan fizikal di kalangan pesakit Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang berpunca daripada gangguan jin adalah seperti bengkak-bengkak badan yang berkudis teruk, masalah ketidakseimbangan hormone, pandangan mata tiba-tiba menjadi kabur tanpa sebab, degupan jantung yang sentiasa laju dan sebagainya. Gangguan-gangguan fizikal ini selalunya tidak dapat dijelaskan akan puncanya dan tidak sembuh-sembuh walaupun sudah mendapat rawatan perubatan moden.

Bagi gangguan mental pula, gangguan jin boleh menyebabkan seseorang itu memiliki sikap panas baran yang melampau-lampau, sifat cemburu yang keterlaluan, suka berfikiran negative, bersangka buruk dan sebagainya. Malah, ada juga pesakit AL-Hidayah yang tidak ada sebarang sejarah penyakit mental mengadu mula mendengar suara-suara halus yang berbual dengan mereka sehinggakan mereka berasa sudah menjadi gila.

Gangguan jin turut menyebabkan masalah kekeluargaan di kalangan suami isteri, ipar duai, adik-beradik dan di antara ibu bapa dan anak-anak. Keluarga yang dilanda akan gangguan tersebut akan berpecah belah, ahli keluarga akan berasa sentiasa panas apabila pulang ke rumah, selalu bergaduh, hilangnya rasa cinta antara suami isteri dan sebagainya. Kadang-kala perkara yang kecil dan remeh temeh seperti isteri yang memasak lauk kurang garam juga boleh menyebabkan perang besar di antara suami isteri hingga menyebabkan penceraian kerana adanya gangguan-gangguan jin ini.

Masalah kesukaran mendapat zuriat dan jodoh turut boleh disebabkan oleh gangguan jin. Bagi mereka yang sukar untuk mendapat jodoh, seringkali hubungan mereka berakhir dengan kekecewaan dan tidak sampai ke jinjang pelamin. Bagi mereka yang sukar mendapat zuriat pula, si isteri sukar untuk hamil kerana gangguan jin memusnahkan sperm di dalam rahim sebelum sempat disenyawakan. Jika sudah hamil, kandungan tersebut mudah untuk gugur tanpa sebarang sebab yang jelas.

 

Rawatan Gangguan Saka Dengan Menggunakan Ayat-ayat Al-Quran

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit yang mengalami masalah gangguan jin saka akan terlebih dahulu dirawat untuk membuang jin-jin di dalam badan mereka. Kemudian, pesakit tersebut  akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.

Ayat-ayat tersebut adalah:

  • Surah Ar-Rad’ ayat 30 hingga 43
  • Surah Al-Mukminun ayat 105 hingga 118
  • Surah Az-Zumar ayat 59 hingga 75
  • urah Al-Baqarah ayat 1 hingga 20

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Ar-Rad’ tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Mukminun tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya.

Kepada mereka yang sudah lama menghidap sebarang penyakit namun masih tidak sembuh-sembuh walaupun sudah mendapat pelbagai rawatan perubatan moden, silalah dapatkan rawatan perubatan Islam pula. Ada kemungkinan penyakit yang dihidapi tersebut berpunca atau dipengaruhi oleh gangguan jin saka yang tidak dapat dikesan dan tidak dapat diubati hanya dengan perubatan moden.

 
Misi Kami
Derma Online
Bayar Online