Memorandum Persefahaman
( 1 Vote )
Friday, 30 November 2012 00:00

mainKuala Lumpur, 30 November 2012 - Yayasan Al Hidayah hari ini telah memetrai memorandum persefahaman bersama Yayasan Sofa bagi kerjasama Akademik dalam menjayakan penubuhan Maahad Tahfiz Al Hidayah (MATAH). Majlis bersejarah tersebut telah berlangsung di bilik mensyuarat Kolej Islam Sofa, Ampang.

Pengasas Yayasan Al Hidayah, Tuan Haji Lokman Bin Abd Hamid dalam ucapannya, beliau mengucapkan rasa syukur dalam rangka menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Al Hidayah dengan Yayasan Sofa. “Bagi pihak Yayasan Al Hidayah, ingin saya merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga kerja Yayasan Sofa yang telah memberi  kesanggupan dan bimbingan kepada Yayasan Al Hidayah dalam usaha untuk menubuhkan Maahad Tahfiz Al Hidayah (MATAH). Dalam erti kata yang mudah Yayasan Sofa akan menjadi tempat sumber rujukan dan konsultan kepada Yayasan Al Hidayah bagi melaksanakan dan menjalankan Maahad Tahfiz Al Hidayah”.

“Kami yakin dan percaya dengan pengalaman dan pengetahuan serta kemampuan yang ada pada Yayasan Sofa mampu menjadi ‘mentor’ kepada kami Yayasan Al Hidayah yang masih baru dan belum mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam mengendalikan sekolah tahfiz”, katanya. Tuan Haji Lokman berharap kerjasama yang dijalinkan ini dapat melestarikan penubuhan Maahad Tahfiz Al Hidayah.

“Harapan kami, melalui perjanjian persefahaman ini mampu menyelesaikan beberapa masalah seperti  penempatan tenaga pengajar, pengambilan murid , pelaksanaaan kurikulum dan budaya pembelajaran serta halatuju pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka sehinga ke peringkat ijazah.  Masalah  ini mungkin dapat diatasi dengan kerjasama, bimbingan dan tunjuk ajar daripada Yayasan Sofa”.

“Semoga semangat kerjasama dan persefahaman yang wujud ini mampu memberi  ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menempatkan anak-anak mereka dalam bidang pengajian tahfiz, yang mana sejak akhir-akhir ini permintaannya sangat tinggi tetapi tempat sangat terhad. Oleh itu, kami dari Yayasan Al Hidayah mengambil inisiatif merebut peluang ini demi mendapat keredhaan Allah dan merupakan amal jariah Yayasan Al Hidayah. Tujuan kami adalah untuk memertabatkan pengajian Al Quran tanpa memikirkan soal keuntungan duniawi. Semoga usaha yang sangat kecil ini diterima oleh Allah,” jelasnya.

Majlis bersejarah itu turut di hadiri oleh Yang Berbahagia Dato Sheikh Mohd Fuad Bin Kamaludin Al Maliki, Pengasas Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Yang Berbahagia Ustaz Abdullah bin  Abdul Razak, Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Yang Berbahagia Tuan Haji Radzif bin Dato Mohd Ismail,  Timbalan Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Yang Berbahagia Ustaz Farid bin Samad Pengetua Darul Quran Wal Hadith Dan Yang Berusaha En Malizan AJK tertinggi Kolej Islam Sofa.

Yayasan Al HIdayah diwakili Yang berusaha saudara Ashraf Muslim, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Al Hidayah, Yang berusaha, Tuan Syed Othman, Penasihat Maahad Tahfiz Al Hidayah.  Hadir sama, jawatankuasa pelaksana  kedua-dua pertubuhan. Antara isi memorandum persefahaman tersebut, Yayasan Al Hidayah dan Yayasan Sofa bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang akademik, penempatan guru-guru terlatih dari Yayasan Sofa, kepakaran membangunkan System Pengkalan Data Pelajar dan pembangunan modal insan.

Pada majlis tersebut Tuan Haji Lokman Ab Hamid mewakili Yayasan Al Hidayah menandatangani memorandum persefahaman, manakala Yayasan Sofa diwakili Ustaz Abdullah. Majlis tandatangan itu telah disaksikan oleh Pengasas Yayasan Sofa, Yang berbahagia Dato Sheikh Mohd Fuad Bin Kamaludin Al Maliki dan Saudara Ashraf Muslim.

Di akhir majlis, Pengasas Yayasan sofa telah memberi kata-kata amanat dalam merealisasikan penubuhan MATAH. Di dalam amanatnya, Dato’ Syeikh meminta agar kedua-dua pihak dapat bersama-sama menggembeling tenaga dalam usaha penubuhan MATAH untuk memartabatkan kalam suci Allah di atas muka bumi ini. Beliau mengharapkan memorandum ini benar-benar akan berlangsung dan berterusan  hingga ke akhir hayat atas dasar penyatuan persaudaraan.

“ Saya mengharapkan Yayasan Sofa benar-benar memberi bantuan dan sumbangan dalam mencorakkan isi kandungan program ini. Di pihak Yayasan Hidayah, saya harapkan dapat berusaha sedaya upaya memberikan keselesaan kepada Ahli Ilmu atau Ahli Al-Quran yang akan menginap di Madrasah yang akan ditubuhkan nanti. Telah menjadi pegangan saya bahawa sebenarnya kita sedang melayan satu kumpulan manusia yang lebih besar kedudukannya dari raja iaitu Ahli Ilmu dan Ahli Al-Quran, selepas nabi dan rasul.” Beliau tidak bersetuju seandainya penubuhan sesebuah Maahad Tahfiz ini di buat seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

Majlis pada pagi itu turut diserikan dengan penyerahan Senaskhah Al-Quran dan Plaka penghargaan daripada Pihak Yayasan Al Hidayah sebagai tanda terima kasih di atas kerjasama yang telah pihak Yayasan Sofa berikan. Bagi pihak Yayasan Al Hidayah, kami amat berbesar hati dan merafaqkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNYA jua, majlis ini dapat disempurnakan. InsyaAllah hasrat murni ini akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Amin Ya Robbalalamin.

 
Misi Kami
Derma Online
Bayar Online