Home > Mengenai Kami
Kaedah Perubatan
( 7 Votes )
Monday, 18 March 2013 09:49
Dalam rencana kali ini, saya ingin memaparkan berkenaan  dengan rahsia kehebatan Al Quran, dari sudut pandangan yang lain, iaitu dari sudut Al Quran sebagai agen penyembuhan penyakit. Ramai pesakit yang datang berubat dengan saya bertanya, mampukah Al Quran mengubati penyakit? Bagaimana hanya dengan membaca rangkaian ayat-ayat Al Quran, sakit yang dihidapi mampu sembuh?

Percayalah.. Al Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Rasulullah saw dan kepada kita sebagai umat Baginda. Al Quran merupakan kalam ALLAH swt dan sememangnya kuasa penyembuh itu adalah milik ALLAH swt. Justeru, bukanlah sesuatu yang janggal apabila Al Quran itu dikatakan mampu menjadi agen penyembuh penyakit. Seperti mana firman ALLAH swt :

“Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman....” - Surah Al-Israa’, ayat 82

Umum mengetahui bahawa kaedah perubatan yang diamalkan oleh saya dan perawat-perawat di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, adalah 100% menggunakan ayat Al Quran. Kami di Al Hidayah, sangat meyakini dengan mukjizat Al Quran sebagai agen penyembuh. Bagi saya, jika bukan kita sebagai orang Islam, siapa lagi yang mahu mengangkat martabat mukjizat agung ini?

Ingin di sini, saya mahu menjelaskan kaedah utama rawatan kami di Al Hidayah. Secara umumnya, rawatan akan bermula dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Kalimah mulia ini adalah sebagai “pembuka pintu” kepada setiap sessi rawatan saya bagi setiap pesakit. Kalimah inilah yang membezakan antara muslim dan bukan muslim. Serta kalimah inilah sebagai penyaksian sewaktu lahir dan sebelum dijemput kematian. Maka, saya memulakan rawatan saya dengan lafaz dua kalimah syahadah ini terlebih dahulu. Ini menunjukkan tawakkal dan kebergantungan kita kepada zat yang Maha Penyembuh, iaitu ALLAH s.w.t.

Seterusnya, saya akan membacakan surah Al Fatihah terlebih dahulu. Surah ini bukanlah hanya boleh digunakan semasa solat sahaja, sebaliknya surah Al-Fatihah turut terbukti sebagai agen penyembuh penyakit yang luar biasa kemujarabannya. Kerana itulah surah ini digelar sebagai ibu segala surah. Dan dimuliakan menjadi surah pembukaan di dalam mushaf Al Quran.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a., ia menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang keluar pergi bermusafir. Di tengah perjalanan mereka telah singgah di sebuah perkampungan Badwi. Mereka telah meminta makanan, tetapi penduduk kampung tersebut enggan memberinya.

Dengan takdir ALLAH swt, salah seorang daripada penduduk kampung itu telah disengat binatang berbisa. Maka, salah seorang sahabat Rasulullah saw pun bersedia untuk mengubatinya. Lalu membaca sesuatu lalu ditiupkan ke tempat luka lelaki tersebut. Dengan kuasa ALLAH swt, lelaki tadi pun sembuh. Para sahabat yang lain berasa hairan, apakah ayat yang dibacakan oleh sahabat mereka tadi? Sedangkan sahabat mereka itu bukanlah seorang tabib ataupun pernah mengubati penyakit. Lalu sahabat itu menyatakan, bahawa dia hanya membacakan surah Al Fatihah. Lalu berita ini sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, dan Baginda sendiri megesahkan perbuatan lelaki tersebut.

Riwayat ini membawa pengajaran kepada kita mengenai betapa besar fadhilat surah Al-Fatihah itu. Kalau difikirkan dari sudut logik akal, mustahil hanya dengan membaca ayat, lalu bisa dari binatang boleh sembuh. Namun, inilah yang dikatakan kuasa penyembuh itu adalah milik mutlak ALLAH swt dan kita haruslah berikhtiar. Apa yang pasti, kisah ini membawa pengajaran yang berguna, bahawa ayat-ayat suci Al Quran itu bukan sahaja bertindak sebagai
panduan hidup, malah ianya juga sebagai agen penyembuh penyakit yang sangat mujarab.

Di kalangan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia ini pula, ramai yang sudah meyakini bahawa ayat-ayat suci Al Quran mampu untuk menjadi penawar, namun hanya bagi penyakit-penyakit yang bersifat spiritual atau penyakit kerohanian. Misalnya sihir, santau, saka, rasukan, jin, dan sebagainya. Masyarakat kita masih ramai yang kurang yakin bahawa ayat-ayat suci Al Quran mampu malah berkesan dalam merawat penyakit yang bersifat fizikal seperti kencing manis, darah tinggi, tyroid, ketumbuhan dalam otak, dan kanser.

Contohnya, surah AL-Isra’ ayat 40 hingga 55 untuk menyembuhkan penyakit-penyakit berkaitan dengan jantung, surah Qaf ayat 16 hingga 45 untuk menyembuhkan penyakit-penyakit khususnya berkaitan dengan urat saraf dan tulang, dan surah Muhammad ayat 21 hingga 32 untuk menurunkan tekanan stres dalam pesakit. Rata-rata di antara kita tidak melihat “proses” penyembuhan melalui ayat-ayat Quran tersebut. Sukar untuk diterima akal, hanya dengan membaca ayat-ayat suci Al Quran, penyakit-penyakit yang bersifat fizikal ini dapat sembuh tanpa mengambil sebarang ubat atau melalui pembedahan.

Ramai di antara kita yang memilih untuk lebih mempercayai perubatan moden, yang jelas kelihatan proses penyembuhan dan rawatan seperti pembedahan, menelan ubat, suntikan dan sebagainya. Secara peribadi, saya tidak menolak rawatan cara moden ini, malah turut menggalakkan pesakit untuk merujuk kepada doktor atau menjalani rawatan berbentuk moden ini. Namun, apa yang mahu saya tekankan di sini adalah, Al Quran juga mampu menjadi penawar untuk penyakit-penyakit fizikal yang lain seperti yang dinyatakan di atas tadi. Firman ALLAH swt;

“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman..” - Surah Yunus, ayat 57

Bagaimana Al Quran boleh bertindak sebagai agen penyembuh? Persoalan ini tidaklah dapat dijelaskan oleh logik akal manusia, namun sebagai sedikit gambaran kepada para pembaca, pertama sekali kita harus yakin bahawa Al Quran itu adalah mukjizat agung, dan firman Allah swt sendiri seperti di atas menyatakan bahawa di dalam ayat-ayat Al Quran itu sendiri mempunyai syifa, atau penyembuh.

Ayat-ayat Al Quran mempunyai aura-aura tersendiri yang sepadan dengan jenis-jenis penyakit. Misalnya, sakit kanser, ayat-ayat Al Quran yang selari dengannya adalah seperti di dalam surah Al-Mukminun ayat 91 hingga 100 dan surah Al-Hajj ayat 31 hingga 55. Ada lagi ayat-ayat lain yang berkaitan dengan penyakit kanser.

Begitu juga dengan sakit-sakit lain, terdapat ayat-ayat Al Quran yang tersendiri, yang fungsinya sebagai penyembuh untuk sakit-sakit tersebut. Apabila ayat-ayat ini dibaca oleh pesakit, maka aura-aura daripada ayat-ayat suci ini akan bertindak terhadap penyakit yang dihidapi. Misalnya penyakit buah pinggang, apabila si pesakit mengamalkan ayat-ayat Al Quran yang fungsinya untuk penyembuhan penyakit itu, maka aura-aura kalimah suci ini akan bertindak ke atas buah pinggang pesakit, dan menyembuhkannya dengan izin ALLAH swt.

Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al Quran ini bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar, dan dijelaskan dengan logik akal.

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, sudah ada ramai pesakit Al-Hidayah yang sembuh dari penyakit-penyakit mereka seperti sakit jantung, masalah buah pinggang, masalah saraf, kanser, gangguan seperti sihir dan saka dan sebagainya, selepas pesakit-pesakit tersebut, dengan tekunnya, mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang diberi oleh perawat-perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengikut jenis penyakit yang dihidapi oleh mereka.

Selain daripada amalan pembacaan Al-Quran secara istiqamah dan konsisten, doa kepada Allah swt dan keyakinan yang tinggi terhadap mukjizat agung Al-Quran sebagai agen penyembuhan turut diamalkan oleh pesakit-pesakit tersebut.

Dalam pengalaman saya mengubati pesakit-pesakit kanser selama 13 tahun, saya telah mengumpulkan testimoni-testimoni pesakit kanser Al-Hidayah yang telah sembuh dari sakit mereka dengan keizinan Allah swt, untuk tujuan memberi contoh dan bukti kepada pesakit-pesakit kanser lain akan kemujaraban ayat-ayat suci Al-Quran dalam menyembuhkan penyakit kanser.

Kisah-kisah pesakit tersebut menceritakan akan cabaran dan dugaan mereka dalam mengharungi hidup bersama penyakit kanser. Kisah-kisah tersebut pasti akan  menyentuh sanubari pembaca-pembaca dan memberi motivasi kepada pesakit-pesakit kanser untuk terus berikhtiar mencari penyembuhan sakit kanser.

Untuk pengetahuan anda, kisah-kisah tersebut beserta dengan penerangan mengenai mukjizat Al-Quran dalam menyembuhkan penyakit kanser telah dibukukan dalam buku saya yang bertajuk “Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser”(Quranic Medicine in Healing Cancer; terbitan MustRead Sdn Bhd) yang boleh didapati di kedai-kedai buku bermula dari 1 Mac 2013. Buku tersebut turut boleh dibeli di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Kesimpulannya. Al Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan oleh ALLAH untuk  kita umat Nabi Muhammad s.a.w. dan kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu mendaulatkan Al Quran? Maka rugi besarlah jika orang Islam sendiri mempersia-siakan Al-Quran dan tidak meyakininya. Yakinlah dengan Al Quran, bukan sahaja sebagai kitab yang dibaca setiap hari sebagai pertunjuk, tetapi juga sebagai ubat yang diamal setiap hari sebagai penyembuh.

Akhir sekali, harapan saya agar suatu hari nanti, ramai doktor-doktor Muslim dapat menerima Al-Quran sebagai medium penyembuh penyakit serta mengguna pakai ayat-ayat Al-Quran bersama-sama rawatan perubatan moden mereka.
 
Misi Kami
Derma Online
Bayar Online