Sudah Jatuh Ditimpa Tangga
( 8 Votes )
Thursday, 01 November 2012 10:30
Ada seorang pesakit yang datang berubat dengan saya tempoh hari. Anak bongsu beliau yang berumur 12 tahun merupakan seorang OKU yang disebabkan oleh penyakit Cerebral Palsy. Si anak tersebut tidak boleh bercakap, berjalan, melihat mahupun memahami apa-apa yang dikatakan kepada si anak. Bunyinya sangat sedih bukan, apabila mempunyai seorang anak yang mempunyai masalah Cerebral Palsy. Jikalau kisah tersebut sudah pun menyedihkan, tunggu sehingga anda mendengar kisah malang keluarga ini selanjutnya.

Pada pertengahan tahun ini, suami pesakit tersebut yang berumur lebih kurang 40 tahun telah mengalami serangan angin ahmar (stroke) yang teruk. Akibatnya, suami beliau telah lumpuh sepenuhnya pada badan bahagian kanannya yang menyebabkan si suami tidak boleh berkomunikasi dan turut mengalami masalah hilang ingatan.
Kejadian tersebut menyebabkan keluarga tersebut seperti memiliki seorang lagi ahli keluarga OKU. Apa yang lebih menyedihkan lagi, pekerjaan si suami sebagai seorang kerani di sebuah bank tempatan merupakan satu-satunya sumber rezeki bagi keluarga malang tersebut. Akibat daripada serangan angin ahmar tersebut, si suami terpaksa diberhentikan kerja. Kini, kesemua ahli keluarga tersebut bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan bulanan PERKESO.

Semasa berubat semalam, saya bertanya kepada pesakit kalau beliau redha di atas segala dugaan yang beliau lalui sekarang. Beliau terus tidak dapat menahan sebak dan menangis di depan saya. Saya merasakan sungguh kasihan kepada beliau dan keluarga.Inilah salah satu kisah sedih di antara banyak lagi kisah-kisah pesakit yang menyayatkan hati sepanjang tempoh pengalaman saya sebagai seorang perawat sejak berbelas tahun yang lepas. Kesiankan. Sebab itulah kita harus selalu bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita.
 
Misi Kami
Derma Online
Bayar Online